KOKO (CERPEN)
“Koko?”, soal Imran berbaur acuh tak acuh
sahaja. “Yup, rabu ni macam biasa okay!”, balas Aiman sambil
menggengam penumbuk kanannya rapat ke dada. Tanda semangat, mungkin. “Aku
pontenglah Man kalau macam tu. Hehe!”, ujar Imran. Kali ini dia tersenyum
menampakkan barisan giginya yang rongak, berbeza sekali reaksinya dari tadi. “Pergi
je koko tu, lepas tu balik.”, sampuk Irfan. “Bising apa kat
belakang tu?!”, suara nyaring Cikgu Azizah bergema dalam kelas. Akhirnya
mereka diam sebentar bersama ideologi masing-masing.
Rabu. Tepat jam 3 petang, Aiman sedang mengumpulkan
semua orang di suatu sudut tepi padang. Aiman terus mengambil kedatangan semua
ahli. Kini tiba giliran kawan baiknya, “Imran?”. Hening sahaja. “Dia memang
betul-betul tepati janji. Berani betul!”, luah Aiman perlahan. Selesai sahaja,
Aiman mula mengetuai pasukannya untuk berkawad. “Kiri! Kiri! Kiri kanan kiri!”.
Jam 3 lebih. Irfan baru sampai di padang dan terus
mendekati pasukannya. Kebetulan namanya baru dipanggil, “Irfan ada?”. “Sini!”,
Irfan berteriak gembira sambil melambai tanggannya ke Aiman. Namun, tuahnya
tidak lama. Aktiviti petang itu ialah hentak kaki. “Alamak…”, risau mula meresap
ke seluruh tubuhnya. “Kiri! Kiri! Kiri kanan kiri!”.
Jam 4. Imran sudah puas bermain PS2 di kedai. Rasanya
dia sudah boleh berjalan kaki pulang ke rumah. Maknya pasti percaya latihan
hari ini habis awal. Dalam perjalanan pulang, dia membayangkan apa yang
sepatutnya dia buat petang itu. “Kiri! Kiri! Kiri kanan kiri!”. Sedang dia
tersengih, dia terlihat akan Aiman dan Irfan sedang bergaduh dalam lorong taman
perumahan mereka.
“Apsal kau tunjuk kertas periksa corot aku kat
diorang?” bentak Aiman sambil tangannya terus memaut lengan Irfan. “Kau lagi
teruk. Ketua apa suruh orang kawad lebih-lebih tengah panas. Dia jalan je
memanjang.”, soalan berbalas soalan. Adat manusia bertengkar. Tangan Irfan
terus terhuyung-hayang cuba untuk mendaratkan penumbuknya. Malangnya tubuh
tinggi Aiman terus menahan pergerakannya. Nasib Aiman tiada berniat untuk
berbalah. Imran mula meleraikan perbalahan kawan karibnya. Akhirnya mereka diam
sebentar bersama ideologi masing-masing.
Rabu hadapan. Tepat jam 3 petang. Aiman dibantu
Irfan mengumpulkan semua orang. Aiman mula mengambil kehadiran. “Imran!”, 3
kali nama itu dipanggil. Aiman pandang Irfan. Irfan sekadar mengangkat bahu. Tugas
diteruskan, “Seterusnya, …”. “Datang bos! Hehe!”, Imran berlari ke arah kumpulan
mereka. Mereka bertiga tersenyum menahan ketawa serentak. Kemudian, suara
bertiga bercampur dengan seluruh pasukan, “Kiri! Kiri! Kiri kanan kiri!”.
Rabu sepuluh tahun kemudian. Aiman, Imran dan Irfan
bertemu di sebuah kafe yang baru dibuka berdekatan rumah mereka. Hipster
kononnya. Mereka bertiga duduk semeja, bercerita akan masa silam. Terselit
cerita mengenai waktu mereka koko tadi. Irfan yang hanya ingin selamatkan
kertas periksa Aiman daripada kumpulan mereka baca. Aiman yang sakit kaki hari
itu dan yang paling pelik kes Imran serba salah dia punca pergaduhan sebab tak
datang koko. Seorang pelayan akhirnya sampai sambil menatang dulang, “Tiga koko
ais siap!”.
-APELAHNI.`
-APELAHNI.`
Ekstra: Bagi rakyat Malaysia, KOKO merupakan suatu fasa dalam kehidupan. Pelbagai persepsi terhadap pelbagai orang tentang koko. Ada yang meraikan seperti Aiman. Menjadikannya sebagai tiket melepaskan diri daripada perkara lain. Ada yang anti terhadapnya seperti Imran. Hanya memberontak dan terus menafikan wujudnya seronok pada koko. Yang lain mungkin tersekat antara keduanya seperti Irfan. Pergi kerana terpaksa. Tak benci mahupun suka. Senang kata, koko merupakan antara lambang childhood di Malaysia yang akan kita rindui. Huhu!
Comments
Post a Comment