HARAPAN 2050 (CERPEN)
Harapan 2050
WASHINGTON, 6 JUN – Nama Malaysia menjadi perhatian seluruh dunia
apabila wakil pasukan kebangsaan, MyNet telah memenangi pertandingan The
Security Innovation Network 2020, SINET 20. MyNet menewaskan 22 negara lain
termasuk Jepun dan Rusia melalui ciptaan mereka, Home-INT. Home-INT merupakan
sebuah perisian sekuriti yang boleh dipasang secara mudah pada mana-mana
bangunan untuk memberikan kebolehan sebagai sebuah program pintar, atau dengan
kata mudah, menjadikan bangunan sebagai robot.
“Tapi why nak
jadikan rumah dan sekolah kepada robot?”, tanya Melissa sambil memasukkan
peluru ke dalam senapang jarak jauh miliknya. Ikram meletakkan semula keratan
akhbar tadi dalam fail kes lalu menjawab, “Mereka fikir rumah tu boleh elak
pencuri, kukuhkan sistem navigasi, memberi amaran jika kecemasan berlaku dan
memudahkan kerja-kerja rumah seperti membuka pintu, menyiram pokok dan
sebagainya selepas dah jadi robot”. Selaku ketua, Ikram sememangnya
berpengetahuan dalam banyak perkara, terutama sekali perkara yang melibatkan
misi. “Kiranya kita kena cari semula rumah robot yang masih hidup selepas
Perang Siber la nih?”, ujar Farahanis, bertanya perkara yang dah pasti.
Mereka bertiga
bergerak laju meluncur ke Kuala Lumpur dipandu oleh Mat Kete dengan menaiki bot
kepunyaannya hasil buruan pasukan mereka dua minggu lalu di Pantai Batu Putih.”I
rasa kawasan ni safe lah”, kata Melissa sambil tekun mengawasi suasana
suram di sekeliling dengan teropong kecil pada snipernya. Ikram terus
tidur nyenyak, sementara Farahanis memegang erat komputer riba miliknya sambil
menaip sesuatu. Mat Kete terus membaca kotak peta dan meluncur meredah paya
berbakaukan bangunan tinggi. Kuala
Lumpur sememangnya telah menjadi paya lumpur dengan bangunan tinggi separuh
tenggelam di dalamnya walaupun setelah 5 tahun perang berakhir. Suara teruja
Mat Kete mengejutkan Ikram, “Haa!! Dah sampai di tempat misi. Yuhuu!!
Peninggalan Perang Siber!”.
Perang Siber
tercetus apabila kemampuan teknologi menjadi terlampau pesat. Dunia seperti ini
bukanlah ditakluk oleh robot sebagaimana yang ditayangkan dalam sutradara dahulukala.
Sebaliknya, dunia dalam sejarah terus rapuh akibat pemilik kemajuan itu
sendiri, manusia. Mereka mula bergantung terlalu tinggi pada teknologi,
sekaligus mengakibatkan kehabisan sumber dan undang-undang liberal. Variasi
pembangkang akhirnya lahir dalam usaha menghapuskan pembangunan bahaya ini
secara radikal. Tepat tahun baru 2045, sebuah bom siber berskala nuklear telah
dipancarkan dari pejabat teras Home-INT. “Menara MyNet, huh?”,tanya Melissa
sambil melihat papan tanda separuh rentung. Mereka bertiga masuk meredah paya
paras paha sementara Mat Kete tunggu di luar.
“Kita mungkin
mampu memulihkan semula tamadun jikalau kita dapat menjumpai Home-INT yang
masih berfungsi dan menggunakannya demi kebaikan”, kata Ikram sambil melihat
penemuan peta Malaysia bersaiz gergasi dalam bentuk interaktif hologram, milik
MyNet. Mereka bertiga sibuk menggeledah ruang peta tersebut ibarat berenang
dalam skrin. Farahanis menjumpai lokasi GPS terakhir perisian Home-INT yang masih hidup, di kawasan utara Malaysia.
Sememangnya pakar teknologi sangat berguna pada waktu sebegini. Data lokasi
tersebut selamat dimasukkan ke dalam kotak peta kumpulan mereka. Sebelum sempat
mereka naik ke atas bot, mereka terdengar bunyi tembakan lantas disusuli
jeritan Mat Kete, “Lari!!! Berontakan ada di sini!!!”.
Mereka yakin itu amanat terakhir daripada Mat Kete
apabila melihat bot mereka meletup. Berontakan merupakan gerakan yang
melancarkan bom siber di kawasan yang sama, 5 tahun lalu. Akibat tindakan
tersebut, seluruh infrastruktur dunia hancur akibat serangan virus tersebut.
Kesemua alat siber berhenti berfungsi, malam jadi gelap dan perkara paling
teruk terjadi, dunia menjadi padang
jarak, padang terkukur. Semua kerana manusia. Peperangan telah surut tetapi
tiada siapa berani untuk memulihkan semula keadaan dengan mengkaji semula
Home-INT, satu-satunya peradaban terakhir yang masih hidup, kecuali mereka
berempat. Ikram melepaskan tembakan
rambang terhadap pasukan yang sedang mengejar mereka. Truutt!! Truttttt!!!!
Tiba-tiba,
kedengaran sebuah motor Berontakan datang menghampiri dari tepi. “Mat!!”, lihat
Melissa melalui teropongnya. Ikram berhenti menembak. Farahanis serahkan kotak
peta pada Mat, tetapi ditegah oleh Mat. Sebaliknya, Mat serahkan kunci motor pada
Farahanis lalu jatuh berlumuran darah. Hanya bekas jurutera MyNet mampu
mengkaji Home-INT tersebut dan mereka mengetahui realiti tersebut. Ikram terus
menyuruh Farahanis membawa motor tersebut jauh dari sini. Farahanis berpegang
pada kata-kata Ikram yang berjanji untuk menjaganya, “Jangan toleh belakang,
saya ada”. Dengan air mata mengalir lembut, Farahanis berpura-pura tidak tahu
bahawa Ikram sedang berdusta dan terus memecut motornya laju meluncur jauh ke
dalam paya, meninggalkan Kuala Lumpur dan rakan-rakannya seperjuangannya.
Kotak peta terus terapung 1 meter daripada
pemiliknya, sambil menghala ke arah laluan mengikut koordinat yang telah dimasukkan
tadi. Farahanis tekun mengekori kotak peta. Perjalanan dari ibu kota ke negeri
jelapang padi hanya mengambil masa 2 jam. Sepanjang perjalanan hanya kelihatan
bangunan runtuh diselimuti alam semula jadi. Kebanyakan manusia tinggal di kem
penahanan luar daripada tanah air dan dikawal ketat oleh Berontakan.
Menghapuskan teknologi, tetapi terpaksa menggunakannya demi kepentingan
sendiri, sungguh ironi. Hanya mereka berempat bernasib baik melarikan diri dari
Singapuraya. Beeeeepppppp!!! Gadis itu terus menekan butang atas kotak peta
untuk mematikan bunyi dengung tersebut. “Dah sampai…”, getus hatinya.
Farahanis bingkas bangun dan sembunyikan motosikal
sebelum masuk ke dalam tinggalan bangunan-bangunan lama. Seakan-akan sebuah
perkampungan melayu lama, lengkap dengan struktur diperbuat dari kayu siap
berukiran bunga dan langsir dari kain cindai. Klasik. Selepas yakin akan
keadaan sekeliling, dia terus meletakkan komputer riba di atas sebuah tempayan
bertutup. Selepas beberapa ketika menekan papan kekunci, Farahanis menekan butang
MASUK sebelum menutup mata. Terpancar cahaya menerobos keluar dari monitor
menyilaukan seluruh kawasan sekali imbas. Dia membuka mata perlahan-lahan dan
terdengar bunyi hanya beberapa kaki di hadapannya, “Home-INT dihidupkan
semula.”
Farahanis pantas bangun dan menghampiri bunyi
tersebut. Kelihatan sebuah bangunan membersihkan dirinya sendiri. Semua perabot
mula tersusun, daun dibuang, habuk disedut keluar. Tanpa sengaja, dia teringat akan
kali terakhir Home-INT berfungsi. Bekas jurutera itu mula mengukir senyuman
yang telah lama hilang, kerana dia tahu, kewujudan perisian ini bakal menyatukan
kembali seluruh manusia dengan ilmu yang tersimpan di dalamnya. Di pintu utama
bangunan tersebut, Farahanis terperasan akan tulisan pengenalan nama robot yang perlahan-lahan
bercahaya kembali. MASJID XIII.
-APELAHNI.
Catatan: Ini bukan idea asal daripada TN50. Haha! Ini satu cubaan untuk buat satu content tentang futuristik. Masjid sememangnya merupakan sesuatu struktur penting dalam pembangunan komuniti, walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Itulah mesejnya. Harap korang enjoy dan tolong komen sebarang idea, penambahbaikan mahupun cerpen korang! Apa saja. Last sekali, terima kasih sangat-sangat kepada yang sudi baca. Share kalau best!
Comments
Post a Comment