Coretan Bilal 16 Syawal (CERPEN)
Coretan Bilal 16 Syawal
Aku seorang
bilal tak rasmi. Tak rasmi? Yup. Sebab biasanya aku jadi bilal kalau aku jadi
orang pertama sampai ke surau. Rutin seharian, aku akan jadi bilal untuk solat
zuhur dan asar. Kemudian, usai sahaja iqamat, semua jemaah akan mula
bersembahyang berimamkan Pak Ali. Pak Ali merupakan pengerusi surau merangkap
imam la sekali kiranya. Kalau hari biasa, jemaah untuk kedua-dua waktu itu
dalam 3-4 orang termasuk saya dan imam. Sikit kan? Biasalah, negara maju
katanya. Tapi ini semua bukan dalam bulan Syawal.
16 Syawal. Aku
melaungkan azan seperti biasa. Biasanya hari Ahad jumlah jemaah akan menjadi
lebih ramai sikit. Lagipun, dalam perjalanan aku ke sini bersama dengan adik
laki aku, kami melihat banyak rumah terbuka yang ada. Biasalah, raya-raya ni
mesti tuan rumah mesti ada kat rumah nak sambut tetamu. Meriahkan syawal.
Selepas azan, aku lihat anak-anak jiran aku yang juga kawan adik aku sudah
selesai membentangkan tikar sembahyang. Semua kecil lagi, paling tua pun sebaya
dengan adik aku, ambil PT3 tahun ini. Aku mengambil wuduk, lalu duduk sambil
menunggu jemaah. Biasanya sepuluh minit, bergantung kepada bilangan jemaah.
Tapi hari ini lain sikit.
Jemaah ada
yang hadir, tetapi bukan orang Taman Bukit Semarak ni. Semua yang datang adalah
orang luar berpakaian serba kemas, sama ada berbusana baju melayu atau
berkemeja hipster. Aku teka ini mesti tetamu dari mana-mana rumah terbuka tadi.
Adalah dalam hampir sepuluh orang tidak termasuk aku dan budak-budak sekolah
ni. Sudah hampir sepuluh minit, semua sudah selesai solat sunat, ambil wuduk
dan bersedia untuk solat sementara aku dari tadi berfikir sesuatu, “Siapa yang
akan jadi imam ni? Takkan orang luar?”.
Kenapalah
dalam banyak-banyak hari, hari ini jugak Pak Ali takde kat rumah. Biasanya ada
mana-mana jiran walaupun sorang. Kalau takde sekalipun, aku masih boleh jadi
imam kat budak-budak ni. Pelik betul
sekarang, yang orang luar penuhkan surau, bukan penduduk surau itu sendiri.
Mesti mereka akan beranggapan bahawa surau ni biasanya memang tiada jemaah dari
penduduk setempat, hanya kanak-kanak yang datang untuk terus bermain futsal
selepas solat Asar. Dengan bermacam-bermacam fikiran yang menerobos, aku terus melangkah
ke depan dan mula mengambil mikrofon. Dengan hati separuh hiba, aku mula, “Saf,
rapatkan saf… , Allahuakbar, Allahuakbar… “.
-APELAHNI.
Catatan: Lama dah tak post. Sebelum ni ada jugak buat cerpen dan confessions. tapi tak post sebab nak kumpul. Malang memang takkan berbau, maklumat semua tu terpadam. huhu... jadi mulai hari ini, Apelahni akan cuba aktif kembali dalam penulisan dan post terus dalam blog ni sebab takut malang yang semestinya tiada berbau tu. komen dan cadangan sangatlah dihargai. oh, TERIMA KASIH SEBAB SUDI BACA!!!
Comments
Post a Comment